DIMANAKAH KEPREHATINAN KITA TERHADAP ISLAM-BUKANNYA PENGGANAS
WARGA emas Palestin mencari sesuatu di sebalik bangunan kediaman yang runtuh dibedil tentera Israel di Rafah, Selatan Gaza, semalam. |
Zionis tak endah resolusi PBB
GAZA: Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang menggesa gencatan senjata dimulakan segera tidak diendahkan Israel apabila rejim Zionis itu terus menggempur Gaza dengan angka kematian warga Palestin kini mencecah 783 orang dan lebih 3,000 lagi cedera.
Sekurang-kurangnya 50 sasaran di Gaza termasuk tempat pelancar roket dan kemudahan membuat bom pejuang Hamas, dibedil oleh tentera Israel dalam operasi pada hari ke-14 semalam
Jet tempur Yahudi turut menggugurkan bom di pinggir Gaza, manakala kereta kebalnya membedil sebuah rumah di Beit Lahiya menyebabkan enam penduduk daripada satu keluarga, maut.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pula mendedahkan tindakan kejam tentera Israel menghimpunkan 110 penduduk Palestin dalam sebuah rumah di daerah Zeitun sebelum membedilnya bertalu-talu menyebabkan 30 orang maut, Ahad lalu. Menurut OCHA, penduduk yang terselamat diarah berjalan kaki sejauh dua kilometer ke Jalan Sala Ed Din sebelum dihantar ke hospital dalam kenderaan awam. Tiga kanak-kanak, termasuk bayi berusia lima bulan, dilaporkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Pendedahan itu disusuli keputusan Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menggesa gencatan senjata segera dimulakan dan dihormati semua pihak secara berterusan dengan menetapkan Israel berundur dari Gaza.
Resolusi yang diluluskan di ibu pejabat PBB di New York itu, turut menggesa langkah tertentu diambil bagi menyekat kegiatan menyeludup senjata ke Gaza dan sempadannya dibuka semula.
Ia juga meminta semua pihak tidak menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan untuk 750,000 penduduk di Gaza. Dalam undian yang diadakan, 14 anggota majlis itu menyokong resolusi berkenaan, manakala Amerika Syarikat berkecuali.
Hamas bagaimanapun membantah resolusi itu atas alasan PBB gagal mengambil kira kepentingan rakyat Palestin.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata kelulusan resolusi itu tidak bermakna perang sudah tamat.
Tentera Israel berkata, pejuang Hamas melancarkan sekurang-kurangnya empat roket ke wilayahnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Sebagai langkah keselamatan tambahan, Israel menempatkan 3,000 anggota polis di Baitulmaqdis kerana menjangka bantahan baru diadakan selepas solat Jumaat oleh penduduk Palestin bagi menentang operasi ketenteraan Zionis di Gaza.